30 Apr
30Apr

HADRAH


Hadrah merupakan salah satu kesenian yang popular di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Di negeri Perak kesenian ini dibawa oleh penggiat seni dari Kedah, Tok Che Mat dan Mat Ali pada tahun 1949 ke Selama, Perak. Kesenian Hadrah sememangnya berasal dari Tanah Arab dan corak-corak persembahan Hadrah di Malaysia telah diubahsuai mengikut budaya masyarakat Melayu.Kesenian Hadrah mengandungi elemen-elemen muzik, nyanyian dan tarian. Persembahan kesenian Hadrah di Selama, Perak bergantung kepada 12 gubahan lagu yang diiringi debfab paluan rebana pelbagai saiz serta paluan gong. Manakala tarian Hadrah yang dipersembahkan mempunyai berbagai ragam tari bergantung kepada lagu-lagu yang dialunkan. Kesenian Hadrah ini sering dipersembahkan di majlis perkahwinan, berkhatan, majlis rasmi kerajaan dan sambutan ketibaan pembesar-pembesar.

RODAT


Muzik kesenian Rodat berasal dari Semenanjung Tanah Arab. Ini diperkukuhkan lagi dengan bukti perbendaharaan kata arab yang membawa maksud berulang-alik dan bersahut-sahutan yang diungkapkan dalam bahasa arab yang mana isi dan petikan bait-bait lirik diambil daripada sebuah kitab yang bernama Hadrah. Rodat merupakan satu seni muzik tradisional yang terkenal di negeri Terengganu yang unik dari segi persembahan dan mesej yang ingin di sampaikan serta diperkukuhkan lagi dengan seni yang berunsur Islam dan sangat dihormati kerana merakamkan puji-pujian kepada tuhan dan sejarah hidup para Rasul. 

Rodat berfungsi sebagai satu medium pengisian bagi kehidupan bermasyarakat di Terengganu. Contoh sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa, lawak jenaka dan kasih-sayang yang di sampaikan dalam bait-bait lirik yang indah dan berirama serta mengasyikkan. Rodat juga merupakan satu medium hiburan semasa majlis-majlis keraian seperti majlis kahwin, berkhatan, musim menuai, hari keputeraan Sultan dan pesta kebudayaan. Majlis persembahan muzik Rodat ini dipersembahkan dalam bentuk nyayian dan tarian yang diiringi dengan paluan alat muzik rebana yang lebih dikenali sebagai Tar Rodat dalam kalangan pemuzik Rodat.

DABUS

Dabus dipercayai telah dikenali di negeri Perak sejak 200 tahun yang lalu lagi dimana ia bertapak di 3 tempat iaitu Kampung Tanjung Bidara yang terletak di Bagan Datoh daerah Hilir Perak, Pulau Tiga di daerah Perak Tengah dan di Kampung Pasir Panjang Laut yang terletak di Sitiawan dalam daerah Manjung. Seperti sejarah-sejarah lain yang mempunyai banyak versi, darbus juga terdapat beberapa versi jenis pendapat mengenai sejarah pengenalan dabus di negeri Perak.

Dabus adalah tarian pahlawan negeri Perak yang kian tenggelam ditelan arus zaman. Pada awalnya, ia tarikan oleh lelaki sahaja menggunakan pakaian pahlawan Melayu Perak. Seramai 8 hingga 12 orang akan menari sambil diiringi oleh paluan alat muzik rebana.

Dipercayai, tarian ini dipersembahkan bagi menunjukkan keberanian pahlawan Perak kepada tetamu di istana. Pada akhir persembahan, penari akan mencucuk lengan menggunakan anak dabus. Setelah selesai, ketua dabus akan menjampi dan mencuci luka dengan air penawar.

Pada awalnya, selain menggunakan anak dabus, penari menggunakan pelbagai senjata tajam lain untuk menambah kehebatan penari dabus. Diantaranya ialah pisau belati, keris, kapak kecil dan batu guling.

GENDANG KELING

Gendang Terinai merupakan sebuah kesenian muzik tradisional Perlis yang mula dikenali sebagai ‘Gendang Keling’ berdasarkan kepada kesenian India kerana pengaruh bentuk gendang yang panjang dan serunainya semenjak kedatangan orang-orang India ke Tanah Melayu. Pada tahun 1974 sempena Pertandingan Terinai, Menteri Besar Perlis pada ketika itu, Allahyarham Dato’ Jaafar Hasan telah mengumumkan pertukaran nama ‘Gendang Keling’ kepada ‘Gendang Terinai’ kerana muzik ini digunakan untuk persembahan Tarian Terinai.


Kesenian ini begitu popular suatu ketika dahulu dari kalangan rakyat hingga ke istana raja. Ia masih diminati ramai khususnya dipersembahkan dalam majlis-majlis perkahwinan dan keramaian. Kini ia menjadi muzik rasmi di istana sempena menyambut pertabalan Raja dan hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis.

Kumpulan Muzik Gendang Terinai lazimnya terdiri daripada 4 orang iaitu dua orang pemukul gendang panjang (pengibu dan penganak), seorang meniup serunai dan seorang memukul dua biji gong (gong jantan dan gong betina). Lagu-lagu yang sering dipersembahkan adalah lagu-lagu Melayu asli seperti Mula Pasang, Kutip Siput, Gong Panjang, Kucing Berlaga, Anak Tiung, Cinta Sayang dan Terinai.

NOBAT

Nobat merupakan salah satu warisan kesenian Melayu yang masih kekal  sehingga kini. Di Tanah Melayu, Nobat adalah muzik yang berfungsi di  istana sebagai seni persembahan istana Diraja Melayu. Antara  negeri-negeri Melayu yang masih mengekalkan muzik Nobat adalah negeri  Perak, Kedah dan Terengganu.

Muzik Nobat adalah sejenis pancaragam Diraja yang hanya dimainkan di istana dan pemain muziknya pula terdiri daripada orang-orang tertentu sahaja. Kebiasaannya, pemain Nobat akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Sejak dahulu lagi, Nobat hanya dikenali oleh penduduk sekitar yang tinggal berhampiran dengan kawasan Nobat dimainkan. Manakala masyarakat luar tidak banyak mengetahui mengenai muzik Nobat ini.

        Nobat mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri. Antaranya  ialah Nobat hanya dimainkan ketika majlis-majllis tertentu di istana  seperti adat istiadat pertabalan, menyambut kelahiran baru di istana dan  lain-lain lagi. Disamping itu juga, terdapat beberapa pantang larang  yang perlu diikuti ketika muzik Nobat hendak dimainkan.


ASAL-USUL  NOBAT

       Perkataan Nobat ini adalah berasal dari Negeri Parsi yang  menggunakan perkataan "Naubat" bermakna sembilan jenis. Ianya ialah  'pancaragam' diraja yang telah dipakai dari zaman-berzaman di  negeri-negeri Melayu untuk Istiadat Pertabalan Raja-raja. Negeri-negeri  Melayu yang mempunyai Nobat ialah Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor.  Nobat yang digunakan dalam Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Nobat Negeri Perak.

Picture


Picture


 

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING