Wayang kulit merupakan sejenis hiburan pementasan bayang yang terhasil dari patung yang dibuat dari belulang (kulit lembu/kerbau atau kambing). Terdapat pelbagai jenis wayang kulit bergantung kepada tempat asal mereka. Ia merupakan satu bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang dari patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak metodologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang.
Persembahan wayang kulit ini biasanya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan atau juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab). Wayang kulit ini kebiasaannya dipersembahkan dalam upacara atau perayaan tertentu. Fungsi wayang kulit ini adalah sebagai medium hiburan dan kadangkala dikaitkan dengan unsur ritual yang terdapat dalam sesuatu masyarakat. Seni persembahan ini tersebar dan membentuk satu identiti tersendiri dalam sebuah masyarakat.